Ada 5 lokasi baru? Biar betul!
5 Lokasi Hiking Terbaru Yang Anda Boleh Tawan Di Sekitar Kuching. Aktiviti hiking semakin popular dalam kalangan masyarakat setempat kini terutamanya dalam kalangan golongan belia dan anak muda.
Selain daripada aktiviti riadah yang menyihatkan, anda juga boleh mengetahui sejarah serta selok belok perjalanan di hutan semasa mendaki. Best kan?
Di sini kami kongsikan kepada anda 5 lokasi hiking terbaru yang boleh anda daki di sekitar Kuching. Banyak juga rupanya, kan? Jom!
1. Gunung Siburan
Gunung Siburan atau nama lainnya, Gunung Sentah, Bung Siburan atau Tebung Siburan, merupakan lokasi gunung yang sesuai untuk anda daki di Padawan. Mempunyai ketinggian setinggi 1,090 kaki, gunung ini merupakan kawasan petempatan turun temurun masyarakat Bidayuh Biatah.
Untuk ke sini, anda perlu meletakkan kenderaan anda di kaki gunung dan mendaki sehingga ke Kampung Sentah selama lebih kurang 40 minit. Kemudian, anda harus menaiki sebanyak 201 tangga kecil untuk sampai ke puncak gunung.
Di sana, anda akan menemui rumah adat iaitu ‘panggah’ dan rumah inap berbentuk rumah panjang dengan 5 bilik. Rumah panjang tersebut dilengkapi dengan ‘awah’, ‘tanju’ dan ‘pawad (tempat mencuci).
Bukan itu sahaja, anda boleh melihat Gua Tang Teruma di kaki gunung ini. Gua ini dikatakan sebagai gua terbaik yang ada di bahagian Kuching. Namun, masyarakat tempatan percaya bahawa sesiapa yang memasuki gua ini tidak akan menemui jalan pulang.
2. Gunung Kelambu Lang
Terletak di Kampung Sungai Bako, Kuching dan bersempadan dengan Taman Negara Bako, para penggemar aktiviti lasak bolehlah mencuba untuk menawan Gunung Kelambu Lang.
Untuk ke sini, anda perlu menggunakan jalan menuju ke arah Demak Laut seterusnya ke Sejingkat dan Kampung Sungai Bako Jaya. Perjalanan ke tapak permulaan Gunung Kelambu Lang ini mengambil masa selama lebih kurang 30 minit dari Bandaraya Kuching.
Memandangkan kawasan ini dibawah seliaan komuniti Kampung Sungai Bako, kunjungan anda ke sini akan dikenakan bayaran untuk tempat letak kereta, bayaran masuk serta khidmat jurupandu gunung. Bukan itu sahaja, checkpoint pertama ini juga menyediakan kemudahan asas seperti tandas awam.
Bayaran masuk : RM 3
Bayaran jurupandu gunung : Seikhlas hati
3 Summit Dengan Pemandangan Memukau
Sepanjang pendakian, anda akan menemui 3 summit yang mempunyai pemandangan sekitar Bandaraya Kuching yang berlainan.
Summit yang pertama anda akan dihidangkan dengan pemandangan Bandaraya Kuching dan kampung sekitarnya. Di summit yang kedua pula, anda akan dapat melihat pemandangan Gunung Santubong manakala summit ketiga anda akan melihat pemandangan laut dan sekitar Pulau Lakei.
Walau pun gunung ini tidak begitu tinggi, namun ia tidak begitu sesuai untuk pendaki beginners kerana tahap kesukaran dari segi persekitaran dan halangan sepanjang laluan.
3. Gunung Matang
Bagi anda yang gemarkan pendakian santai dan tidak begitu mencabar, anda boleh mencuba untuk mendaki ke Gunung Matang.
Bukan sahaja anda boleh beriadah, tetapi juga boleh melihat kuil Hindu yang cantik dan berwarna-warni ala-ala kuil Batu Caves di sana.
Perjalanan ke Gunung Matang ini mengambil masa selama lebih kurang 25 hingga 30 minit dari Bandaraya Kuching. Setibanya anda ke sini, anda perlu membayar sebanyak RM 5 untuk parkir kenderaan. Kadang kala, ia bergantung pada keadaan.
Trail jalan asphalt, sesuai untuk jogging dan berbasikal
Gunung Matang memiliki ketinggian sehingga 3000 meter. Walau bagaimanapun, gunung ini tidak memiliki trail seperti dalam hutan yang lain di mana anda perlu memanjat batu dan melalui jalan tanah. Trail nya boleh dikatakan telah dinaiktaraf menjadi jalan asphalt atau tar.
Jalan trail yang landai menjadikan Gunung Matang ini sesuai dijadikan tempat santai untuk seisi keluarga. Anda juga boleh berjoging, serta berjalan kaki secara santai. Malah, anda boleh menunggang basikal di trail ini. Wow!
4. Gunung Serembu
Gunung Serembu ini terletak di belakang pekan warisan Siniawan di Bau. Dari segi sejarah, Gunung Serembu ini merupakan tapak petempatan terawal masyarakat Bidayuh Serembu. Selain itu, ia juga pernah menjadi tempat rumah rehat Rajah James Brooke.
Di Gunung Serembu ini, anda akan menemui sebuah trail yang dinamakan sempena ahli sains terkemuka dunia iaitu Alfred Wallace’s Trail. Trail ini dinamakan sedemikian kerana ia pernah dilalui oleh ahli sains tersebut suatu ketika dahulu.
Perjalanan menuju ke puncak yang disebut Peninjau mengambil masa selama 1 jam sahaja. Namun, pendakian sedikit sukar kerana kebanyakan trail berstruktur batu dan terpaksa menggunakan tali untuk pendakian.
Walau bagaimanapun, rumah inap serta fasiliti yang lebih lengkap sedang dalam pembinaan untuk kemudahan para pelancong terutamanya pendaki gunung.
5. Banjaran Bengoh
Banjaran Bengoh atau lebih dikenali dengan gelaran Bengoh/Bungo Range terletak di Padawan, Sarawak. Perjalanan dari Bandaraya Kuching ke tapak permulaan Banjaran Bengoh iaitu empangannya mengambil masa lebih kurang 1 jam 40 minit.
Jika anda mendaki banjaran ini, anda akan dipertemukan dengan 4 buah air terjun yang memukau iaitu air terjun Curtain, Koring, Puba’an (Pe’an) dan Shushung (Susung).
Walau bagaimanapun, anda harus menempah bot serta pemandu pelancong kerana kawasan ini dijaga oleh pengawal keselamatan empangan.
Perjalanan menaiki bot mengharungi empangan pula adalah selama 20 ke 30 minit sebelum tiba ke tapak permulaan banjaran.
Untuk ke 3 air terjun pertama iaitu Curtain, Koring dan Puba’an (Pe’an), ia mengambil masa selama 45 hingga 1 jam dari tapak permulaan berdekatan empangan. Untuk sampai ke air terjun Shushung (Susung) pula, anda perlu mendaki lagi sejauh 30 hingga 45 minit.
Pendakian ulang alik secara keseluruhan juga mengambil masa yang agak lama iaitu 4 jam. Jadi, anda dinasihatkan untuk membina stamina sebelum mendaki banjaran yang mencabar ini.
Banyak rupanya tempat hiking yang boleh anda explore kat Kuching! Jika anda seorang penggemar alam sekitar, mungkin lokasi ini boleh anda masukkan ke dalam bucket list anda.