Ingatkan selama ini ada jenis darah ABO sahaja, rupanya banyak lagi yang rare!
Bank Darah Kuching Terbangkan Darah Rare Ke Johor, Rupanya Banyak Jenis Darah Ganjil Selain ABO. Manusia normal kebiasaannya hanya mempunyai sama ada jenis darah A, B, AB atau pun O. Lebih spesifik, anda mungkin akan dikategorikan mengikut jenis darah positif atau negatif.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat pelbagai lagi jenis darah ganjil yang wujud di luar sana?
Hantar darah jenis -D-/-D- dari Kuching ke Johor Bahru
Sabtu lalu, Pusat Bank Darah Hospital Umum Kuching telah menghantar bekalan darah ganjil iaitu -D-/-D- ke Pusat Darah Negara. Darah ini khabarnya diperlukan untuk keperluan pesakit yang mempunyai jenis darah ganjil yang sama di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Kelmarin kami menghantar bekalan 1 unit darah merah jenis darah ganjil -D-/-D- ke Pusat Darah Negara di mana darah…
Posted by Blood Bank Hospital Umum Sarawak on Saturday, August 22, 2020
Keperluan tersebut adalah bagi menampung keperluan pesakit yang melahirkan anak.
Menerusi hantaran Blood Bank Hospital Umum Sarawak, keperluan bekalan tersebut adalah salah satu peranan yang dijalankan oleh Jabatan Perubatan Transfusi. Bekalan darah akan segera disalurkan sekiranya terdapat permintaan daripada doktor perubatan kepada pihak Tabung Darah.
Malah, pihak Tabung Darah juga mempunyai senarai penderma yang mempunyai kumpulan darah ganjil seperti -D-/-D- dan jenis ganjil yang lain yang sedia membantu.
Mesti anda tertanya-tanya bagaimana kumpulan darah selain ABO ini boleh wujud kan?
Pertanyaan ini turut dijawab oleh Blood Bank HUS di ruangan komen apabila salah seorang individu meminta informasi lanjut tentang perkara tersebut.
Kebiasaannya, jenis darah manusia dikategorikan mengikut antigen yang terdapat pada permukaan sel darah merah individu tersebut. Walau pun terdapat 600 antigen kumpulan darah yang dikenali, namun kumpulan darah yang normal diklasifikasikan kepada kumpulan A, B, O dan AB Rh (rhesus) negatif atau pun Rh positif.
Penderma darah yang ganjil kebiasaannya mempunyai fenotip atau jenis darah yang jarang djumpai dalam sesuatu populasi masyarakat.
Menurut Blood Bank HUS, terdapat banyak lagi kategori darah ganjil yang didapati di Malaysia seperti darah Bombay, Kidd (Jka-b-), Ind b-, Duffy (Fya-b-), RhD17 atau -D-/-D-, Rh null, PP1Pk- dan macam-macam lagi. Populasi nya pula adalah sekitar 1 dalam 1,000 penduduk di Malaysia.
Individu dengan jenis darah ganjil ini sangat terkecuali kerana mereka hanya boleh menerima mahu pun menderma darah mengikut jenis darah ganjil mereka sahaja.
Sekiranya mereka menerima darah daripada kumpulan derma yang berlainan, ia boleh menyebabkan reaksi akut kepada sel darah yang boleh membahayakan nyawa pesakit. Lebih teruk, boleh membawa maut.
Bagaimana individu berdarah ganjil dikenal pasti?
Seseorang dengan darah ganjil ini hanya boleh dikenal pasti melalui semasa mereka menderma darah. Semasa sampel darah penderma diambil, pihak tabung darah akan melakukan ujian fenotip bagi mengenal pasti jenis darah yang sebenar.
Individu dengan darah ganjil ini kebiasaannya ditemui dalam populasi etnik yang sama. Sebagai contoh, darah jenis -D-/-D- kebanyakannya ditemui dalam kalangan etnik Bidayuh di Sarawak.
Darah ganjil jenis R2R2 pula lebih kerap ditemui dalam kalangan masyarakat Cina dan Melayu. Darah Bombay pula kebanyakannya dimiliki oleh masyarakat India manakala jenis darah Duffy atau Fya-b- pula kerap ditemui dalam kalangan warga Asia Barat dan Afrika.
Walau bagaimanapun, sesebuah jenis darah ganjil tidak tertakluk kepada etnik yang sama. Individu dengan darah ganjil yang sama juga boleh jadi daripada dua etnik yang berbeza.
Jenis darah kekal sepanjang hayat
Jenis darah seseorang individu juga tidak akan bertukar walau pun terdapat penambahan atau pun pengurangan antigen akibat jangkitan, maglinan, atau penyakit autoimun.
Disebabkan statusnya sebagai darah ganjil, pesakit yang memiliki darah ganjil ini berisiko untuk berhadapan dengan musibah atau kehilangan nyawa akibat kesukaran mendapatkan penderma darah yang sama.
Oleh yang demikian, adalah penting bagi anda yang mempunyai darah ganjil untuk tampil menderma bagi memudahkan rawatan pada masa akan datang.
Apa-apa pun, syabas diucapkan kepada Pusat Bank Darah Hospital Umum Kuching dan Tabung Darah Negara!