Rancangan pembinaan kompleks di tapak hutan Blue Pool sememangnya agak mengejutkan.
Blue Pool Santubong Dikhuatiri Musnah, Petisyen Dilancar Untuk Halang Pembinaan Kompleks. Blue Pool atau Kolam Biru yang menjadi tular pertengahan tahun ini di Santubong telah menarik perhatian ramai pengunjung untuk menyaksikan sendiri keindahan alam semulajadi di kawasan tersebut.
Bukan itu sahaja, Blue Pool ini rupanya sebuah hidden gem yang baru sahaja ditemui di Kuching. Namun, dalam kalangan peneroka alam semulajadi, ia bukanlah sesuatu yang baharu. Tetapi tetap memukau dek kejernihan airnya yang biru.
Walau bagaimanapun, timbul pula berita yang tidak menyenangkan tentang nasib yang bakal menimpa kawasan rekreasi terbaru di Kuching ini. Khabarnya, kawasan Permai ini telah dirancang untuk dijadikan tapak untuk pembinaan sebuah kompleks astronomi yang diberi nama Kompleks Al-Falak.
Sebuah petisyen telah dilancar untuk membantah pembinaan kompleks di kawasan tersebut
Susulan itu, pengarah urusan Permai Raiforest Resort dan Kem Permai, Rahim Bugo telah melancarkan sebuah petisyen bagi menghalang pembinaan kompleks tersebut di kawasan itu. Setakat artikel ini ditulis, sebanyak lebih 21,000 tandatangan telah dikumpul daripada sasaran sebanyak 25,000 tandatangan untuk diserahkan kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Johari serta Ketua Jabatan Agama Islam Sarawak.
Sedikit info mengenai kompleks ini, rancangan pembinaan kompleks ini telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada tahun 2015 dan dikendalikan di bawah Jabatan Mufti Negeri Sarawak. Kompleks Al-Falak tersebut bakal menempatkan galeri, dan ruang pembelajaran pelbagai bidang termasuklah tapak pemerhatian dan tempat melihat anak bulan untuk menentukan tarikh penting seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha.
Kompleks RM 100 juta tersebut tetap dijalankan, meskipun dapat tentangan – Mufti Sarawak
Namun begitu, dalam suatu sumber kenyataan oleh seorang pegawai Mufti pada November lalu, projek tersebut akan tetap dilaksanakan meskipun mendapat tentangan dan aduan orang ramai, terutamanya berkaitan Blue Pool dan habitat alam sekitarnya.
Buat masa ini, projek tersebut kini sedang dalam peringkat perancangan dan reka bentuk oleh pihak Jabatan Kerja Raya, namun tarikh sebenar untuk projek tersebut bermula masih belum diputuskan.
Projek yang menelan belanja sebanyak RM 100 juta tersebut bukan sahaja membina sebuah kompleks bangunan baharu, malah ia juga akan membina jalan raya sepanjang 2 kilometer dari kawasan masuk Permai sehingga ke Tanjung Salleh iaitu lokasi sebenar kompleks tersebut kelak.
Pembinaan jalan dikhuatiri musnahkan anak sungai dan habitat spesis terancam di hutan Permai
Pembinaan jalan yang melalui kawasan hutan di sepanjang sempadan Taman Negara Santubong ini dikhuatiri bakal memusnahkan 8 anak sungai, termasuk laluan Blue Pool dan habitat semulajadi spesis terancam seperti monyet proboscis, burung enggang, lotong kelabu (clouded langurs), serta harimau dahan (clouded leopard). Malah, pembinaan jambatan kecil yang merentasi sungai-sungai ini juga diyakini akan merosakkan keadaan asal ekosistem di hutan tersebut.
Menurut pengarah urusan Permai Rainforest Resort dan Kem Permai, Rahim Bugo, pembinaan jalan raya tersebut juga akan membuka ruang kepada pembalak dan pemburu haram masuk ke kawasan hutan.
“Petisyen yang dilancarkan ini adalah untuk menghalang pembinaan kompleks di kawasan tersebut. Bukan penubuhan kompleks, tetapi berkenaan tapak pembinaan tersebut. Tiada masalah untuk mereka menubuhkan kompleks tetapi mengapa ia harus ditempatkan di situ?”
Rahim Bugo, pengarah urusan Permai Rainforest Resort dan Kem Permai
Banyak alternatif dan tapak lain selain di kawasan Blue Pool Santubong
Tambahnya lagi, pada masa pandemik COVID-19 ini, kerajaan negeri seharusnya menggunakan dana kerajaan dengan cermat. Terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menubuhkan kompleks tersebut seperti mengambil alih bangunan-bangunan terbiar di sekitar Santubong. Misalnya seperti Resort Santubong, Hotel Damai Puri dan kawasan lapang di belakang Rumah Sultan Brunei.
Dengan cara tersebut, ia akan menjimatkan kos terutamanya memasang dan membekalkan sumber elektrik dan air ke komplek baru di Tanjung Salleh.
Individu yang ingin menyertai petisyen ini boleh berbuat demikian di pautan Change.org ini : http://chng.it/Vh2TMPSv