Pustaka Negeri, Saradise BDC, Taman Sahabat antara kawasan ‘panas’.
Dalang Utama Jenayah Pecah Kereta Kawasan Riadah Kuching Akhirnya Tumpas. Pasti anda selalu mendengar kes pecah kereta yang melibatkan kawasan rekreasi di Kuching. Perkara ini tentunya meresahkan anda untuk meninggalkan kenderaan anda sementara anda melakukan aktiviti beriadah seperti jogging dan sebagainya.
Untuk pengetahuan anda, dalang utama jenayah pecah kereta di sekitar Bandaraya Kuching kini telah dicekup oleh pihak polis. Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Bin Awang Gani semalam.
Suspek utama berusia 40-an, modus operandi secara solo
Pihak polis Kuching sebelum ini menerima banyak laporan pecah kereta dan kecurian di kawasan riadah sekitar Kuching. Risikan dan intipan dilakukan selama beberapa bulan memandangkan kegiatan suspek terlalu licik.
Jelasnya, suspek utama merupakan seorang lelaki yang berusia 40-an. Beliau melakukan jenayah pecah kereta dan kecurian secara berseorangan. Modus operandinya pula adalah menggunakan kenderaan miliknya sendiri.
Guna pemutar skru mata philips yang telah diubahsuai untuk elak bunyi pecah yang kuat
Sebelum memecah sesebuah kereta, suspek akan mengekori dan memerhatikan mangsa yang masih berada dalam kereta. Setelah mangsa beredar untuk melakukan aktiviti riadah, suspek akan bertindak memecah kereta mangsa menggunakan pemutar skru mata philips yang telah diubahsuai. Ini bagi memastikan cermin yang dipecahkan tidak menimbulkan bunyi yang kuat dan kemudiannya mengambil barangan berharga milik mangsa.
Kawasan yang selalu menjadi sasaran suspek sebelum ini ialah kawasan riadah Kuching seperti Pustaka Negeri, Saradise BDC, Taman Sahabat, Taman Rekreasi MBKS, dan Reservoir Park Kuching. Aktiviti ini akan dilakukan sekitar awal pagi iaitu jam 6 pagi dan sewaktu kurang pengunjung ke kawasan riadah. Malah, pengakuan awal suspek turut menyebut bahawa sasarannya adalah kawasan letak kereta tanpa sebarang pengawasan CCTV.
Sehingga kini, suspek telah terlibat dalam lebih kurang 20 kes pecah kereta dan curi di sekitar Kuching. Rekod juga mendapati bahawa kesemua kes ini telah dikenalpasti dan dilaporkan sebelum ini.
Pembeli barang curi daripada suspek turut ditangkap
Susulan itu, seorang lagi suspek berjaya ditangkap melalui satu siri tangkapan yang dilakukan kemudian. Suspek kedua yang berusia pertengahan 40-an tersebut mengaku menjadi pembeli kepada kebanyakan barang curi oleh suspek utama. Antara barangan curi yang pernah dibeli oleh suspek antaranya seperti komputer riba, telefon dan pelbagai lagi barangan kecil lain.
Semakan rekod kedua-dua suspek mendapati mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan harta benda. Walau bagaimanapun, ujian saringan air kencing mereka didapati negatif.
Menurut ACP Awang Din, usaha tungkus-lumus IPD Kuching selama ini tidak sia-sia dan akhirnya membuahkan hasil. Kedua-dua suspek akan disiasat sehingga berjaya didakwa di mahkamah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun dan bagi kesalahan kali kedua, juga dikenakan denda atau sebat.
Individu yang membeli barangan curi juga akan turut disiasat di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang mana memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Jangan beli barang curi, individu atau syarikat barangan lusuh tidak akan terlepas jika beli
Ketua Polis Daerah Kuching turut menyeru kepada orang awam yang pernah menjadi mangsa agar tampil ke Balai Polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai berikut bagi memberikan maklumat lanjut dan membuat pengecaman barangan yang berjaya dirampas daripada suspek;
1. ASP Baharuddin (Pegawai Risik / Operasi ) : 013 – 5654 6002.
2. Sjn Suffiani (Pegawai Penyiasat) : 013-313 5262
Orang ramai juga diingatkan untuk berhati-hati dan tidak bersekongkol dengan penjenayah terutamanya membeli barangan curi. Mana-mana individu atau syarikat barangan lusuh yang membeli barangan curi tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.