Dalang Utama Kes Penipuan Pekerjaan Rakyat Sarawak di Kemboja Akhirnya Ditahan
Sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib suspek terakhir yang merupakan dalang utama kes penipuan pekerjaan rakyat Sarawak yang akhirnya ditahan sebaik sahaja tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selepas menaiki penerbangan dari Pontianak, Indonesia.
Suspek yang berusia 26 tahun, ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Sarawak sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar jam 12.20 tengah hari.
Dia sebelum itu menaiki penerbangan dari Pontianak dan tiba di Kuching pada jam 11.45 pagi.
Mengesahkan penahanan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek ditahan bersabit lima kertas siasatan kerana menipu lima mangsa.
Kata beliau, pihaknya mendapatkan perintah reman dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin untuk cadangan tuduhan.
Suspek yang alamat terakhirnya di Kampung Salak di sini diburu sejak Februari lalu, selepas pihak polis mengambil alih siasatan kes.
Pada Disember lalu, 47 mangsa ditahan di Penjara Beantey Meanchey selepas menjadi pihak berkuasa Kemboja kerana terlibat dalam sindiket perjudian atas talian.