Dari Pedalaman Sarawak ke Belanda, Beg Tangan Buatan Kaum Penan Ini Kini Semakin Dikenali Ramai
Kaum Penan dikenali sebagai kaum nomad di Sarawak dan di Pulau Borneo secara amnya kerana mereka sering berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Kini, dikatakan terdapat dalam lingkungan 11 000 orang kaum penan di Sarawak dan beberapa ratus orang dari jumlah tersebut masih hidup secara nomad dan berpindah randah. Selebihnya pula sudah mula menetap di sesuatu kawasan secara kekal.
Menurut maklumat yang kami perolehi dari The Partriots 2020 :
“Majoriti daripada etnik Penan ramai mendiami di kawasan Baram dan Limbang seperti di timur Sungai Baram contohnya di Tutoh, Patah, Apoh, Upper Akah, Selaan, Selungo. Mereka juga boleh didapati di Balui, Sungai Silat, Long Belina, Long Tikan, Long Jekitan dan Long Beku. Kesemua kawasan-kawasan ini adalah di Baram dan Limbang yang masih lagi kaya dengan hutan belantara yang merupakan punca pendapatan bagi etnik Penan berkurun lamanya.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa etnik Penan sendiri terbahagi kepada 2 yang dikenali sebagai Penan Timur dan Penan Barat. Kedua-duanya mempunyai budaya dan sumber warisan yang sama namun yang membezakannya adalah bahasa. Namun begitu bahasa Penan walau terbahagi kepada 2 ianya tetap dikategorikan di bawah satu rumpun yang dikenali sebagai rumpun bahasa Austronesian: Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Kayan-Kenyah Penan.
Bahasa Penan Timur pula mempunyai satu dialek iaitu Penan Apoh yang mana bahasanya tidak difahami langsung oleh Penan Barat. Bagi Penan Barat pula dialek mereka terbahagi kepada beberapa dialek iaitu Bok Penan (Bok), Jelalong Penan, Nibong, Penan Apo, Penan Gang, Penan Lanyin, Penan Lusong, Penan Silat, Sipeng. Kesemua dialek-dialek ini tidak difahami langsung oleh Penan Timur. Inilah yang menjadikan etnik Penan ini begitu unik dan istimewa kerana walaupun di dalam satu etnik namun dialek-dialek yang mereka gunakan tidak semestinya difahami oleh sub etnik Penan yang lain.
Etnik Penan dengan hutan belantara berpisah tiada. Itulah perumpamaan kepada satu etnik di Sarawak ini kerana mereka sebenarnya sejak dari azali lagi sememangnya menghormati hutan belantara. Di sinilah mereka hidup dan mencari sesuap nasi untuk meneruskan penghidupan dan kerana itulah tidak menghairankan mengapa mereka sering membuat bantahan sekiranya ada kawasan hutan warisan mereka dimusnahkan untuk pembangunan. Sejak dari dahulu lagi etnik Penan percaya bahawa setiap binatang, pohon, sungai dan batu di dalam hutan mempunyai semangat mereka sendiri dan setiap manusia harus menghormati semangat-semangat ini.
Sesuatu yang wajar diketahui bahawa etnik Penan ini amat menghormati orang yang telah mati kerana mereka percaya, mereka yang telah tiada telah bersatu dengan alam untuk menyambung penghidupan mereka yang hidup. Dan kerana itulah dikatakan bahawa bagi etnik Penan yang masih mengamalkan cara hidup nomad, setiap kali ada di kalangan mereka yang sudah meninggal dunia maka mereka akan berpindah mencari tempat yang lain. Dan barangsiapa yang sudah meninggal dunia, mereka tidak akan menyebut namanya baik sewaktu perbualan seharian sebaliknya hanya memperkatakan dimana si mati itu dikebumikan. Inilah antara bentuk penghormatan yang telah dipraktiskan mereka sejak dahulu lagi.
Seperti etnik-etnik yang lain di bumi Sarawak, etnik Penan juga mempunyai warisan budaya yang tersendiri yang wajar untuk semua masyarakat mengetahuinya. Mereka juga mempunyai seni sastera mereka yang tersendiri seperti instrument muzik mereka yang dinamakan Atui, Oreng dan Keringut. Di katakan instrument muzik mereka juga diperbuat daripada pohon-pohon di hutan yang terbaik contohnya Atui yang diperbuat daripada damar-damar di hutan yang terbaik sekali. Sebenarnya Atui ini adalah alat muzik yang paling dihormati di dalam penghidupan etnik Penan sejak dahulu lagi kerana suatu waktu dahulu dikatakan sekiranya ada pemburu dari etnik Penan yang dapat membunuh harimau dahan maka Atui akan dipukulkan agar ianya memberi petunjuk kepada etnik Penan daripada penempatan yang lain bahawa ada seorang perwira Penan yang mampu menumbangkan seekor binatang yang gagah di hutan ini.
Jika etnik lelaki sebop terkenal dengan hasil ukiran kayu berkelas dunia maka apa kurangnya etnik Penan. Etnik Penan amat mahir di dalam pembuatan kraftangan tradisional dan juga besi. Banyak hasil-hasil kerjatangan mereka mendapat permintaan yang tinggi di bandar-bandar besar di Sarawak malah juga di luar negeri. Hanya yang menjadi halangan adalah etnik Penan harus dibantu untuk mampu memasarkan produk-produk hasil seni mereka ini ke mata dunia.”
Helping Hands Penan adalah sebuah badan bukan kerajaan yang bertujuan untuk membantu memperkasakan wanita dari kaum penan. Mereka membantu kaum wanita penan tersebut menjual kraftangan mereka ke pasaran luar dan kemudiannya menggunakan wang tersebut bagi membantu pendidikan anak anak penan.
Ketahui lebih lanjut mengenai Helping Hands Penan di sini : ( Klik di sini )
Mereka juga memanfaatkan dunia tanpa sempadan, internet dengan turut menjual beg-beg tangan tersebut secara atas talian di : http://penanbags.com
Untuk menurunkan kos bahan asas yang tinggi dan menghasilkan beg yang lebih menarik, Helping Hands Penan membekalkan wanita dari kaum penan dengan PVC fibre sebagai bahan asas.
Selain terkenal di Semenanjung Malaysia, bekas sukarelawan yang membantu mereka dahulu kini membantu untuk memasarkan beg tersebut di Belanda.
Dikatakan juga jumlah wanita dari Kaum Penan yang terlibat sebagai weavers kini meningkat kepada sekitar 200 orang. Kebiasaanya beg anyaman mereka dijual dengan harga sekitar RM30-RM120.
Helping Hands Penan juga telah membantu kaum penang dengan membekalkan lampu solar untuk 6 kampung dan juga menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada 60 orang pelajar dari tadika sehingga ke peringkat universiti.
Bagi anda yang berminat untuk membantu inisiatif ini, anda boleh berhubung terus dengan mereka menerusi laman facebook mereka : Helping Hands Penan
Anda juga boleh menghubungi mereka secara terus di talian : +673 8747168