Sebelum ini bangunan ini dikenali sebagai TH Hotel & Convention Centre.
Hotel Depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Akan Dibuka Sebagai Raia Hotel. Sesiapa yang melalui kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pastinya pernah melihat bangunan besar yang tersergam indah, betuk-betul bertentangan dengan lapangan terbang tersebut.
Jika diamati dengan teliti, reka bentuk bangunan ini menggunakan reka bentuk motif fabrik tradisi kaum Iban iaitu Pua Kumbu. Tahukah anda bahawa reka bentuk bangunan ini juga pernah mendapat pengiktirafan dan anugerah di peringkat antarabangsa pada tahun 2017 yang lalu?
Setelah lama berteka-teki tentang bilakah bangunan hotel ini akan dibuka, persoalan ini akhirnya terjawab apabila bangunan hotel yang sepatutnya dikenali sebagai TH Hotel & Convention Centre ini akan dibuka sebagai Raia Hotel & Convention Centre.
Dijenamakan semula setelah diambil alih oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd
Hotel yang sepatutnya dibuka pada tahun 2018 ini mengalami beberapa siri tundaan akibat krisis dalaman yang dihadapi oleh pemiliknya iaitu Lembaga Tabung Haji. Krisis dalaman ini dikhabarkan berpunca daripada jumlah liabiliti yang melebihi jumlah aset yang dimiliki.
Bagi menyelamatkan sebahagian aset Tabung Haji, rangkaian hotel TH diambil alih oleh syarikat subsidiarinya iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd dan dijenamakan semula sebagai Raia Hotel bermula 1 April 2020. Kesemua staf yang berkhidmat di rangkaian hotel tersebut juga turut diserap masuk.
Sehingga kini, rangkaian hotel TH di seluruh negara termasuklah di Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu telah dijenamakan sepenuhnya menjadi Raia Hotel. Raia Hotel Kuching merupakan rangkaian hotel kelima mereka yang bakal beroperasi.
Corak pua kumbu diiktiraf sebagai salah satu elemen rekabentuk terbaik dunia
Difahamkan, pelan asal hotel ini memiliki 237 buah bilik, 9 bilik mesyuarat dan sebuah ruang konvensyen yang mampu memuatkan tetamu seramai 1090 orang. Semasa masih dikenali sebagai TH Hotel, bangunan yang terletak betul-betul di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ini pernah memenangi anugerah berprestij Best New Hotel Construction & Design Asia Pacific pada International Properties Awards 2017 di London.
Elemen pua kumbu yang sememangnya menjadi identiti Sarawak mampu menjadikan bangunan hotel ini sebagai mercu tanda baharu di Kuching.
Tinjauan menerusi laman rasmi Facebook Raia Hotel & Convention Centre Kuching, pihak hotel hanya memaklumkan bahawa mereka akan membuka operasi tidak lama lagi. Beberapa iklan kekosongan jawatan turut dimuat naik di laman tersebut.
Mungkin hotel ini akan dibuka tepat pada masa situasi pandemik di Sarawak sudah reda? Pada masa itu, mungkin anda sudah boleh menjadi orang pertama menikmati fasiliti bertaraf 5-bintang di hotel ini. Mungkin juga boleh dijadikan ruang bekerja dari hotel anda? Siapa tahu, kan?
Apa-apa pun, syukur akhirnya bangunan ini beroperasi dan dibuka kepada orang awam. Kalau tak, membazir pula bangunan cantik dan besar terbengkalai begitu sahaja, kan?