Sanggup seludup PATI kerana upah lumayan
Ibarat Duri Dalam Daging, Pemandu Van Sewa Seludup PATI Di Serian. Terkini dilaporkan seorang pemandu van sewa ditangkap atas kesalahan percubaan untuk menyeludup 5 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI).
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menangkap individu berkenaan semasa satu operasi pada Isnin.
PATI bersembunyi di ruang tempat duduk belakang van
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata kelima-lima PATI tersebut didapati bersembunyi di ruang tempat duduk belakang apabila diperiksa oleh anggota JKDM ketika di sebuah sekatan jalan raya di Jalan Kuching-Serian sekitar jam 12:30AM.
Menurut beliau, PATI terbabit dibawa dari stesen bas di Serian untuk dihantar kepada pihak lain di Kota Samarahan.
Kelima-lima PATI itu merupakan warga Indonesia yang memiliki pasport tetapi tidak mempunyai cop masuk dari Jabatan Imigresen Malaysia.
Ia dipercayai mereka masuk ke negara ini melalui jalan tikus di sempadan Sarawak-Kalimantan.
Pemandu van ejen pengangkut
Pemandu van sewa yang ditangkap disyaki berperanan sebagai ejen pengangkut bersama kelima-lima PATI tersebut. Individu berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Datuk Sharifah berkata pemandu tersebut mendapat upah yang lumayan sehingga tidak khuatir kepada ancaman penyakit dan tidak gentar kepada tindakan undang-undang.
“Bagi mengelak dari diperiksa pihak perkuasa, mereka dipercayai beroperasi dari lewat malam sehingga awal pagi,” ujarnya lagi.
Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Mohon kerjasama rakyat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan haram
Kerjasama rakyat dimohon untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan haram seperti barang larangan atau kawalan tanpa permit import dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my/ atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya lagi.