Pokok sudah boleh diibaratkan seperti mercu tanda jalan di kawasan Petrajaya
Ini Rupanya Sebab Mengapa Pokok Angsana, Mercu Tanda Petrajaya Ditebang. Jalan raya di kawasan Petrajaya sudah berpuluh tahun dihiasi dengan deretan pokok besar dan tinggi iaitu pokok Angsana.
Setiap kenderaan yang lalu di bawahnya akan merasai suasana redup kerana terlindung daripada cahaya matahari terik menjadikan kawasan Petrajaya sebagai sebuah kawasan yang tenang untuk para pengguna jalan raya.
Walau bagaimanapun, pokok-pokok yang telah hidup selama lebih 30 tahun itu kini tidak lagi kelihatan di sepanjang jalan Petrajaya. Lebih spesifik, di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub. Jelas sekali pokok-pokok itu juga telah dipotong, bukan sekadar dipotong ranting dan cabang tetapi seluruh batangnya! Oh no!
Ada sebab mengapa pokok angsana legend ini dipotong
Namun demikian, pihak majlis perbandaran yang bertanggungjawab iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menjelaskan bahawa pemotongan pokok angsana tersebut adalah bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini terhadap pengguna jalan raya.
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) memberitahu bahawa pokok angsana tersebut sudah menjangkau usia 30 hingga 40 tahun. Oleh sebab itu, ranting pokok yang besar mula jatuh dengan sendiri dan membahayakan pengguna jalan raya.
Situasi boleh jadi lebih buruk semasa cuaca hujan lebat atau ribut.
Semakin banyak insiden malang berlaku akibat ranting kayu patah
Tambah Abdul Rahman lagi, terdapat 7 insiden malang yang berlaku tahun ini melibatkan ranting kayu patah dan menyebabkan kemalangan di jalan Petrajaya.
Bukan itu sahaja, terdapat 2 kematian berlaku dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini yang melibatkan kejadian ranting patah.
Beliau menjawab pertanyaan tersebut setelah mendapat pertanyaan berterusan daripada orang ramai yang inginkan kepastian daripada pihak DBKU mengapa pokok tersebut tidak lagi kelihatan.
Sehingga kini, kerja-kerja pemotongan pokok angsana sudah pun 95% siap, dengan anggaran keseluruhan pokok angsana sekitar 200 pokok.
Kawasan pokok angsana yang telah dipotong tersebut dikatakan akan digantikan dengan hiasan landskap yang lebih rendah mengikut pelan DBKU.
Begitulah kisahnya. Bukan suka-suka, untuk keselamatan semua juga, bena sik?