1. Batu Boyak (Buaya), Santubong

Kisah legenda ini berlaku semasa Datuk Merpati telah memenggal kepala buaya yang telah mengganas dan menyumpah kepala buaya itu menjadi batu. Batu buaya ini juga ada hubung kait dengan kisah dua puteri lagenda Sarawak. Di batu buaya inilah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang tiba selepas berlayar keluar dari Brunei.
Di lokasi ini jugalah, Sultan Tengah telah di bunuh oleh pengikutnya yang khianat setelah kembali dari Matan.
2. Batu Kinyang, Jalan Rock

Batu ini terletak bersebelahan dengan kuil Hindu berhampiran bangunan Wisma Saberkas. Batu ini dikatakan boleh membesar dan mempunyai kulit yang boleh tertanggal. Pada zaman dahulu Ia dijadikan tempat untuk memohon hajat
Kisah bermula apabila seorang lelaki berketurunan Jawa yang tertidur di atas batu ini setelah seharian penat bekerja. Ketika tertidur, dia telah bermimpi didatangi oleh seseorang kemudian terus berhajat untuk mendapat zuriat. Tidak lama kemudian selepas itu, dia telah dikurniakan seorang cahaya mata.
Apabila cerita diketahui umum, ramai penduduk mula memohon hajat dibatu itu sehinggalah pada suatu hari, hikmat batu itu hilang apabila sebuah kandang sembelihan khinzir dibuka berhampiran.
Berdasarkan catatan W.J Chater, Rajah Kedua, Charles Brooke pernah berniat untuk meletupkan batu tersebut dan menggunakan serpihan batu itu untuk membina jalan raya tetapi niat beliau dibatalkan atas desakan penduduk tempatan.
3. Sea Stack, Taman Negara Bako

Terletak di Taman Negara Bako dan merupakan antara 10 Sea Stack keajaiban dunia. Ia berbentuk seperti kepala ular tedung yang timbul atas permukaan air. Tempat ini telah dirasmikan pada tahun 1957 dan merupakan taman negara tertua di Sarawak. Tidak ada kisah misteri disebalik kewujudan batu ini namun yang pasti ia adalah kehebatan ciptaan Allah yang maha esa.
4. Batu Katak, Jalan Sibu-Bintulu

Batu ini berbentuk bongkah batu yang kelihatan seperti katak. Batu ini berlubang-lubang dan terdapat bermacam-macam contengan seperti nombor dan barang-barang pemujaan. Keadaan ini amat membimbangkan orang ramai kerana kepercayaan syirik ini.
Kisah batu ini bermula apabila seorang lelaki berhajat ke atas batu ini untuk mendapat “1st prize” untuk judi nombor ekor. Oleh kerana hajatnya tercapai, lelaki itu membina tokong di Batu ini sebagai tanda terima kasih.
Ada kisah lain di sebalik batu ini seperti kelihatan perempuan berbaju putih dan lembaga menakutkan.
Batu ini penah cuba untuk diletupkan ketika membina jalan raya dengan menggunakan ‘dynamite’ dan ‘bulldozer’ tetapi kedua-duanya tidak berjaya. Oleh sebab itu Batu masih kekal di situ.
5. Batu Gong, Katibas, Song

Batu ini kelihatan seperti gong yang kemek. Batu ini pada asalnya dikenali dengan nama “Batu Bedawak @ Tawak” (tawak = gong). Memandangkan masyarakat lebih sinonim dengan perkataan “gong”, namanya kini lebih dikenali sebagai “Batu Gong” .
Menurut legenda, terdapat seekor raksasa bernama Remaung telah mengganas di Sungai Katibas dan memakan manusia. Seorang pahlawan bernama Bungai Nuing telah memerangkap Remaung ke dalam seketul batu dan menutup pintu masuk batu itu dengan batu yang digumpal-gumpal. Terperangkap di dalam batu tersebut, Remaung akhirnya mati dan kini batu tempat Remaung menemui maut dilihat seperti gong.
6. Batu Bergambar, Sungai Jaong, Santubong

Batu yang mempunyai imej manusia yang berusia ratusan tahun dipercayai tinggalan artifak penduduk Santubong yang terkenal dengan aktiviti berdagang dengan pedagang China, Arab dan India pada kurun ke-11.
Penemuan Batu Bergambar menjadi rujukan para arkeologi untuk mengkaji aktiviti kehidupan, kesenian serta penukaran ilmu pengetahuan hubungan luar pada waktu itu. Batu ini telah membawa kepada penemuan artifak tua dari dinasti Tang dan Sung di China. Terdapat 10 batu berukir dan barang dagangan seperti tembikar, manik, gangsa, perak dan emas.
Replika batu ini boleh dilihat di Muzium Tun Abdul Razak, Kuching.
7. Batu Nabau, Sungai Bukong, Engkelili.

Batu ini berbentuk panjang dan menyerupai seekor ular gergasi. Bukan itu saja, penemuan huruf jawi seperti alif, lam, ha, nun, mim dan sin yang terpisah menjadi persoalan ramai. Mungkin untuk kelihatan seperti ular, para pengamal agama mengecat batu ini agar lebih nampak seperti ular.
isah Batu Nabau mendapat liputan luas selepas seorang lelaki Siam bermimpi ular gergasi menjadi batu sehingga membawa penemuan beliau ke atas Batu ini. Menurut cerita orang tua-tua, Nabau ialah nama ular gergasi yang hadir secara misteri. Masyarakat Iban percaya jika Nabau muncul merentasi Sungai Baleh, banjir besar akan berlaku.
Terdapat legenda lain berkaitan dengan Nabau, kononnya Nabau menjelma menjadi manusia dan memikat isteri seorang pahlawan. Berang dengan kelakuan Nabau, pahlawan tersebut menangkap dan mengerat Nabau menjadi tujuh bahagian dan dibuang ke jeram. Jeram itu kini dikenali sebagai Jeram Pelagus yang terletak di Sungai Rajang.
Sebenarnya ada satu lagi batu seperti bentuk batu Nabau tapi bentuknya kecil sahaja
8. Batu Rasak, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu

Menurut penduduk tempatan, lokasi batu ini sukar didekati kerana ia dianggap sebgai tempat ‘keras’. Batu ini tersembunyi di dalam belukar dan kelihatan dalam pelbagai bentuk. Ada seperti orang tegak, orang duduk, wanita mengendong anak, batu berbentuk kerusi, perempuan bertudung, kura-kura dan unta.
Kedudukannya bertaburan dan menjadi perhatian pelancong tetapi tidak semua dapat melihat batu tersebut secara dekat kerana terdapat kejadian pengunjung yang dirasuk dan histeria.
Menurut penceritaan orang tua-tua, kisah berlaku kira-kira 200 tahun yang lalu di mana kawasan ini telah disumpah kerana perbuatan mereka ketika majlis keramaian, mentertawa rasa daging tupai tidak seenak daging kura-kura.
Tiba-tiba, hujan turun dengan lebat berserta kila dan akhirnya mereka semua telah bertukar menjadi batu.
Sejauh mana kebenaran misteri misteri ini, hanya yang Maha Berkuasa mengetahuinya.