Banjir? No problem!
Lihat Gelagat Menghiburkan Pemuda Kampung Sejijak Buat Mini Regatta Sewaktu Banjir. Situasi banjir yang melanda Sarawak tahun ini sedikit berbeza daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Boleh dikatakan situasi banjir tahun ini lebih teruk kerana kebanyakan kawasan di Kuching ditenggelami air. Malah kawasan yang tidak pernah terjejas juga turut dinaiki air.
Namun, di sebalik bencana ini, ada juga yang berusaha untuk menghiburkan hati sendiri.
Pemuda Kampung Sejijak buat mini regatta secara suka-suka
Melalui hantaran video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, M. Effendi Junaidi, pemuda di Kampung Sejijak dilihat menggunakan situasi banjir ini sebagai medan untuk mereka berlatih lumba perahu.
Video yang berdurasi 1 minit dan 45 saat itu memaparkan sekumpulan pemuda Kampung Sejijak yang berlumba perahu dan menjadikannya ala-ala mini regatta.
Keadaan di kpg sejijak masa tok dan anak2 muda kpg sejijak,boleh2 sidak belombak perauk molah regatta drikpun di pdg yaaa ..#happyvssedih😂😊
Posted by M Effendi Junaidi on Wednesday, January 13, 2021
Akibat kenaikan air, padang di kampung tersebut tenggelam sepenuhnya sehingga menyebabkan banjir.
Namun demikian, kesempatan ini diambil oleh pemuda kampung tersebut untuk menghiburkan hati mereka dengan berlumba perahu sesama mereka.
Agaknya sidak tok dah rindu mok megang pengayuh kali nak.
Kampung Sejijak terkenal dengan penganjuran Sejijak Regatta
Untuk pengetahuan anda, Kampung Sejijak yang terletak di Matang, Kuching ini sememangnya terkenal sebagai lokasi perlumbaan untuk lumba perahu atau pertandingan regatta di Kuching.
Sebelum negara dilanda pandemik COVID-19, Sejijak Regatta sememangnya dinantikan oleh para pelumba handalan dari seluruh Sarawak. Pertandingan lumba perahu yang diadakan secara tahunan itu dikhabarkan berpotensi untuk dijadikan acara tarikan pelancongan selain Regatta Sarawak.
Malah, Kampung Sejijak ini juga melahirkan banyak pasukan lumba perahu handalan yang telah memenangi pelbagai kejuaraan regatta dan lumba perahu.
Sekali sekala menghibur hati, sik salah nak? Apa-apa pun, kekal selamat dan jaga diri ya, semua!