Mural ‘Kita Jaga Kita’ menggambarkan masyarakat kita di norma baharu ini.
Mural ‘Kita Jaga Kita’ Ini Membawa Mesej Yang Bermakna Bagi Rakyat Sarawak. Bermula dengan sekadar hobi seawal usia tujuh tahun, Amey Sheikh Ali, berusia 30 tahun, tidak sama sekali menyangka bakat melukis dimilikinya itu kini menjadi sumber pendapatan utamanya.
Ini kerana bermula pada tahun 2013, Amey nekad untuk menjadi pelukis mural sepenuh masa dan lebih membanggakan apabila hasil kreativitinya itu sudah menghiasi beberapa bandar-bandar utama di Sarawak.

Telah menyempurnakan lebih 50 mural
Untuk pengetahuan anda, Amey Sheikh Ali telah menyempurnakan lebih 50 mural di Sarawak, Kuala Lumpur dan Ningbo, China.
Bersesuaian dengan era pandemik ketika ini, dia memilih untuk menghasilkan karya-karya bertemakan COVID-19 dan norma baharu.
Bertemakan Kita Jaga Kita, Amey memilih untuk menggunakan isteri dan anaknya untuk dipotretkan sebagai lukisan bagi menggambarkan situasi kita yang terkini.
“Saya memilih menggunakan kedua-dua mereka sebagai model lukisan bagi memaparkan dua generasi yang berbeza, pertama generasi 90an dan generasi terkini.

Tidak kira tua atau muda, semua memilliki peranan yang sama
“Apa yang cuba saya paparkan adalah kita semua mempunyai tanggungjawab untuk membendung penularan wabak ini, tidak kira tua atau muda, semua memilliki peranan yang sama,” menurutnya apabila ditemui Astro AWANI.
Selain itu menerusi karyanya juga, Amey amat berharap agar masyarakat akan lebih prihatin tentang kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.
Lukisan mural yang ‘Kita Jaga Kita’ ini juga diharap mampu untuk memberi impak kepada masyarakat.
“Masyarakat di Sarawak ini sudah terbuka. Saya melihat mereka menerima dan menghargai grafiti serta mural dalam kehidupan seharian,” tambahnya lagi.
Kredit: Astro AWANI, Amey Sheikh Ali