Hari ini 1 kes positif COVID-19 baru dicatatkan di Sarawak.
Agen Jual Peralatan Komunikasi Di Pusat Membeli Belah Disahkan Positif. Menurut KKM, satu kes baharu yang merupakan jangkitan tempatan disahkan pada hari ini di Kuching menjadikan keseluruhan kes di Sarawak sebanyak 1056.
Kes merupakan seorang wanita warganegara tempatan yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19 kerana telah mengalami gejala batuk, demam, pening kepala dan hilang deria bau.
Kes telah membuat saringan di sebuah hospital swasta di Bandaraya Kuching pada 23 November 2020 dan didapati positif COVID-19 pada hari yang sama.

Agen jualan peralatan komunikasi
Kes tersebut merupakan seorang pekerja di pusat membeli Bandaraya Kuching sebagai agen jualan peralatan komunikasi.
Sementara itu, kedai telco Celcom di Plaza Merdeka telah ditutup bagi kerja sanitasi dan membersih.
Kes juga tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau mengunjungi kawasan yang berisiko tinggi jangkitan COVID-19 di luar Sarawak.
Kes juga tidak mempunyai kontak secara langsung kepada mana-mana kes positif COVID-19 yang telah dikenal pasti dan dilaporkan sebelum ini.

Mengalami tanda dan gejala jangkitan
Kes ini dipercayai telah mengalami tanda dan gejala jangkitan COVID-19 pada 10 November 2020. Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan yang lebih lanjut.
Kes ini masih lagi dalam siasatan yang lanjut dan aktiviti pengesanan semua kontak rapat serumah, di tempat kerja dan kontak sosial kes ini sedang giat dijalankan. Kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan.