Batu Panggah Di Borneo Highland Resorts Ceritakan Kisah Cinta Terlarang Dua Insan
Sekiranya anda berpeluang menjejakkan kaki ke Borneo Highland Resorts, jangan lupa untuk melawat serta melihat sendiri keunikan Batu Panggah yang dikatakan mirip seperti wajah seorang manusia.
Untuk makluman semua, Panggah bermaksud Rumah Kepala. Jadi, Batu Panggah merujuk kepada Batu Rumah Kepala. Haa, bagaimana Batu Panggah mendapat namanya ya?
Menurut kisah-kisah lama, Batu Panggah merupakan lambang kisah cinta terlarang antara dua insan. Kononnya, pada suatu ketika dahulu, terdapat dua buah kampung yang saling bermusuhan sehinggakan tiada seorang pun daripada mana-mana penduduk boleh menjejakkan kaki ke sempadan kampung yang lain.
Namun begitu, akhirnya terdapat seorang lelaki dan perempuan yang telah saling jatuh cinta antara satu sama lain.
Suatu hari, kisah cinta mereka sampai ke pengetahuan Tuai Rumah (ketua kampung) di kampung mereka. Maka, suatu perintah telah dikeluarkan yang memberi arahan agar menangkap pasangan kekasih ini sama ada hidup atau pun mati! Fuh!
Mendengarkan arahan tersebut, pasangan kekasih ini telah nekad untuk melarikan diri. Nasib tidak menyebelahi mereka kerana semasa pelarian mereka, hujan lebat telah turun mencurah-curah membasahi bumi.
Akibat hujan yang amat lebat, maka kedua pasangan bercinta ini telah mengambil keputusan untuk mendapat perlindungan di sebuah rumah kayu.
Tetapi, rumah yang dimasuki mereka bukanlah sebarangan rumah kerana ia merupakan sebuah rumah yang digelar Rumah Kepala.
Dikatakan Rumah Kepala ini menjadi tempat penyimpanan kepala dan tengkorak sebagai simbol kemenangan.
Tambahan lagi, legenda telah mengatakan bahawa orang perempuan serta kanak-kanak adalah dilarang sama sekali daripada memasuki rumah tersebut.
Akibat daripada itu, kilat telah menyambar tepat ke Rumah Kepala lalu menukarkannya menjadi sebuah batu yang amat besar serta mempunyai wajah persis berwajah manusia.
Sejurus panahan kilat itu juga, segala pintu keluar daripada rumah tersebut telah ditutup dan kedua-dua pasangan itu terperangkap di dalamnya.
Akhirnya apabila orang kampung sampai ke sana, maka tahulah mereka bahawa pasangan yang dicari mereka itu telah memasuki rumah tersebut oleh kerana perubahan fizikal Rumah Kepala tersebut.
Maka, kekallah Rumah Kepala sehingga sekarang menjadi batu yang diberikan nama Batu Panggah.
Sungguh kami tak sangka, di Malaysia juga terdapat batu seakan-akan mirip dengan batu di Kepulauan Easter.
Nampaknya, sebelum kita mengembara jauh ke Kepulauan Easter, eloklah kiranya jika mengembara di dalam negara terlebih dahulu.