Mayat bayi perempuan sempurna sifat ditemui jalan berdekatan apartmen di Jalan Bukit Mata.
Bayi Perempuan Sempurna Sifat Dibuang Dari Bilik Hotel Di Kuching. Mayat seorang bayi perempuan yang dibuang ditemui di jalan berdekatan apartmen di Jalan Bukit Mata Rabu semalam.
Menurut ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani, mayat bayi sempurna sifatnya itu ditemui sekitar jam 9.20 malam oleh pengawal keselamatan yang sedang bertugas.
Wanita berusia 19 tahun dipercayai ibu kepada bayi malang itu
Menurutnya lagi, siasatan polis di lokasi membawa kepada tangkapan seorang wanita warga tempatan yang berusia 19 tahun dipercayai ibu kepada bayi malang tersebut.
“Siasatan di tempat kejadian dan menemui mayat bayi terbaring di tempat kejadian dengan kecederaan parah di kepala.
“Siasatan selanjutnya menahan seorang wanita tempatan berumur 19 tahun disyaki ibu kepada bayi berkenaan di bilik di sebuah hotel berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya lagi, mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut manakala suspek dihantar ke HUS untuk rawatan.
Polis pula masih lagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.