Cacian Netizen Terhadap Peniaga Pakistan Di Bau Menjengkelkan
Kecoh beberapa hari ini selepas entah dari mana kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Yatt Society Sarawak yang membuat laporan mengenai kononnya terdapat kebanjiran pendatang pakistan di Sarawak, dan di kawasan bau secara am nya.
Sangat menyedihkan apabila laporan rambang ini tidak disusuli dengan mana mana salinan report polis yang menunjukkan bahawa naratif yang dibawa hanyalah persepsi pelapor yang hanya inginkan publisiti murahan.
Menurut laporan Borneopost, seorang peniaga pakistan di Pekan Bau sedih dengan tuduhan yang dilemparkan kerana beliau sudah lama menjalankan perniagaan di Bau tanpa menganggu sesiapa.
Malahan, ada juga penduduk dari Bau sendiri yang menyangkal laporan tersebut. Beliau juga rasa malu dengan sesetengah warga tempatan yang menghina peniaga tersebut.
Ditambah lagi dengan golongan pak cik mak cik bawang yang meninggalkan komentar berbaur perkauman di laman laman sosial. Komen komen berbaur ugutan menghalau dan penuh kebencian juga dilemparkan tanpa sebarang fakta dan laporan sahih.
Namun, ramai yang lupa bahawa ramai rakyat Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia terutamanya di Pasir Gudang mencari rezeki dengan bekerja atau berniaga. Ramai juga di Singapura atau di negara negara lain seperti Australia dan New Zealand atas dasar merantau, mencari rezeki.
Adilkah jika rakyat Sarawak di luar sana dituduh dengan perkara yang sama dan dihalau keluar? Naratif naratif jahat inilah yang menyebabkan kejadian mengerikan di New Zealand semalam terjadi dengan pengganas yang terlibat menggunakan naratif kononnya membela bangsa kulit putih.
Hakikatnya hanya kebencian, dan sifat rasa bangsa sendiri lebih bagus dari orang lain yang tersemat di dada segelintir rakyat Sarawak ini. Mereka inilah sebenarnya yang menggugat keamanan dan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini.
Di Kuching, kita berbangga dengan adanya India Street, China Town dan sebagainya yang menandakan bertapa harmoninya kita hidup berbilang kaum dan agama. Ramai dalam kalangan kita yang berkeluarga dengan mereka yang berlainan bangsa dan asal usul.
Peliharalah keharmonian kita. Sudah sudahlah bersangka buruk dan bertindak seolah olah anda mewakili suara rakyat Sarawak dan berpura pura menjadi hero menegakkan kebenaran di Sarawak.