Mangsa merupakan seorang wanita warga emas berusia 70 tahun.
Kereta Terapung Di Sungai Berhampiran Jambatan Satok, Mangsa Warga Emas Maut. Dilaporkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah menyelam sedalam 15 meter untuk mengeluarkan mayat seorang wanita warga emas yang terperangkap di dalam keretanya yang terhumban ke dalam sungai berhampiran Jambatan Satok pada hari ini.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 1 Kuching, Yusri Basri, empat penyelam hadir di lokasi kejadian dalam usaha untuk mengeluarkan mangsa iaitu seorang wanita berusia 70 tahun.
“Pasukan penyelamat berjaya menjumpai kenderaan mangsa kira-kira tujuh meter dari jeti dan berada sedalam 15 meter di dalam sungai berkenaan.

Anggota penyelam berjaya membuka pintu kereta
“Usaha mengeluarkan mangsa berjaya pada jam 12.56 tengah hari selepas anggota penyelam kita berjaya membuka pintu kereta mangsa,” katanya semasa ditemui pemberita.
Tambah beliau lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Selain itu, identiti mangsa difahamkan telah disahkan oleh ahli keluarganya yang hadir di lokasi kejadian.
Menurutnya, selepas laporan berhubung kejadian diterima sekitar jam 10.30 pagi, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan Batu Lintang hadir di lokasi kejadian.

Kereta tersebut telah tenggelam
“Bagaimanapun, sampai di lokasi mendapati kereta tersebut telah tenggelam dan terpaksa mendapatkan bantuan PPDA,” katanya.
Siasatan berhubung punca kejadian masih lagi di dalam siasatan.
Di samping itu, beliau turut memohon pihak yang bertanggungjawab untuk membuat penghadang berpagar di jeti tersebut untuk menghalang kenderaan memasukinya.
“Kalau dilihat dari faktor keselamatan, seharusnya ada penghadang berpagar di sini,” katanya.
Difahamkan juga, insiden tersebut pada mulanya disedari oleh beberapa orang pekerja di lokasi berdekatan yang kemudian juga cuba membantu mangsa.
“Kami menghampiri kereta tersebut, tetapi kereta tenggelam sangat pantas dan hanya sempat mengikat tali padanya (kereta) untuk mengelakkan ia hanyut,” kata seorang daripada mereka.
Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.