Pendedahan mengejutkan ini adalah hasil penyamaran wartawan UK.
Lelaki Dari Kuching Jadi Dalang Sindiket Jual Organ Antarabangsa Sejak 2010. Siapa sangka dalang sindiket jual organ antarabangsa rupanya ada di Kuching, Sarawak? Lebih mengejutkan, ‘broker’ dengan nilai jualan yang mencecah ratusan ribu itu merupakan warga tempatan sendiri yang menetap di Kuching.
Menerusi pendedahan menggemparkan sebuah agensi media United Kingdom, The Sun, seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai menjadi dalang sindiket penjualan organ haram antarabangsa.
Lelaki yang menetap di Kuching, Sarawak tersebut didedahkan melalui wartawan The Sun yang menyamar sebagai individu yang berminat untuk mendapatkan transplan buah pinggang daripadanya. Pertemuan mereka dirakam secara sembunyi di sebuah hotel di bandaraya Kuching.

Kredit foto : Simon Jones via The Sun
Jalankan sindiket melalui laman Facebook
Menerusi perbualan tersebut, suspek yang bernama Syaifullizan Bin Abdul Mutalib, dengan bangganya mendedahkan sindiketnya dijalankan menerusi sebuah laman Facebook yang bernama “BUY & SELL Kidney/liver”.
Individu yang berminat akan menghubungi suspek melalui Whatsapp. Kebanyakan pelanggannya adalah dari India, Afrika, Bangladesh, Pakistan, Malaysia, Filipina, Turki dan beberapa negara lain di seluruh dunia. Pakej khas pelancongan transplan yang ditawarkan untuk jualan buah pinggang bagi warganegara Britain misalnya, adalah sekitar £85,000 iaitu bersamaan dengan RM 466, 440.

Dedahnya, daripada jumlah bayaran tersebut, sebahagiannya akan dibayar terus kepada suspek manakala wang selebihnya adalah bayaran untuk ‘duit kopi’ klinik pembedahan di Filipina serta aktiviti pemalsuan dokumen.
Individu yang bersetuju untuk menjual buah pinggangnya akan menjalani transplan secara haram di sebuah klinik di Filipina. Bukan itu sahaja, segala dokumen yang diperlukan akan dipalsukan bagi mengelak daripada larangan penderma dan penerima yang bukan dalam kalangan ahli keluarga atau orang terdekat.
Jelas suspek, urusniaga terbabit diibaratkan seperti istilah ‘Money is king’ di Filipina.
Suspek berjaya jual 45 buah pinggang haram sehingga kini
Sehingga kini, suspek telah berjaya menjual 45 buah pinggang haram hanya melalui Facebook. Suspek juga dipercayai mempunyai 100 individu simpanan yang dipanggil ‘stock’. Mereka adalah individu yang berpotensi untuk menjual buah pinggang mereka akibat desakan hidup dan kesempitan wang.

Sumber : Pharmacy Magazine
Pendedahan lanjut suspek turut menceritakan bagaimana operasi transplan secara haram ini berisiko tinggi apabila salah seorang pelanggannya meninggal dunia setelah dibedah.
Bermula dari ‘dark web’, sindiket berpusat di China sebelum beralih ke Filipina
Bapa kepada 4 orang anak tersebut mengakui telah menjalankan aktiviti haram tersebut sejak tahun 2010 setelah mengetahuinya daripada ‘dark web‘. Operasi di laman Facebook pula hanya dimulakan sejak 2 tahun yang lalu.
Pusat asal sindiket tersebut bermula di China, namun suspek menghentikan urusniaga haramnya di China setelah mengetahui buah pinggang yang dijual diperoleh daripada masyarakat Uighur di kem tahanan China. Kini, pusat operasinya beralih ke Filipina.
Penjualan organ adalah haram di sisi undang-undang Malaysia manakala di Filipina, pemerdagangan manusia untuk penjualan organ boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun.
Suspek diburu pihak polis

Lelaki tersebut kini sedang dalam buruan pihak polis di Kuching seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro hari ini.
Berdasarkan carian kami di Facebook, laman tersebut nampaknya tidak lagi ditemui atau berkemungkinan telah dipadam.
Hindarkan diri anda daripada sebarang aktiviti penjualan organ walau pun keadaan mendesak anda. Mohonlah bantuan di mana-mana saluran yang sah dan bukannya dengan jalan mudah yang membahayakan nyawa anda sendiri.