fbpx
More

    Pakar Onkologi Dari Sarawak Sertai Latihan Penyelidikan Kanser Terbaik Dunia

    Lebih membanggakan, beliau merupakan graduan universiti awam Sarawak!

    Pakar Onkologi Dari Sarawak Sertai Latihan Penyelidikan Kanser Terbaik Dunia. Tidak dinafikan, Sarawak sememangnya mempunyai bakat serta kepakaran yang setanding dengan pakar-pakar yang ada di dunia. Kali ini, seorang lagi pakar perubatan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

    Seorang pakar onkologi dari Sarawak, Dr. Voon Pei Jye telah terpilih untuk menyertai latihan fellowship klinikal di sebuah pusat penyelidikan kanser terbaik di dunia. Beliau akan menyertai latihan tersebut selama 13 bulan di Pusat Kanser Princess Margaret yang merupakan pusat di bawah Universiti Toronto, Canada.

    Pusat Perubatan Princess Margaret ialah salah sebuah daripada 5 pusat penyelidikan kanser yang terbaik dan terbesar di dunia. Ia memfokuskan kepada 3 bidang penyelidikan iaitu penyelidikan asas, klinikal dan terjemahan.

    Pakar Onkologi Dari Sarawak Sertai Latihan Penyelidikan Kanser Terbaik Dunia

    Antara 6 pakar onkologi yang terpilih dari seluruh dunia

    Lebih menarik, beliau merupakan salah seorang daripada 6 orang pakar onkologi yang terpilih dari seluruh dunia termasuk UK, Sepanyol dan Itali untuk mengikuti latihan tersebut.

    Kehadiran Dr. Voon di pusat penyelidikan tersebut tentunya akan membantu Malaysia untuk beralih ke fasa ujian klinikal yang terbaru, membolehkan pembangunan ubat-ubatan serta menyediakan pilihan rawatan untuk pesakit yang tidak berupaya mengikuti standard penjagaan sedia ada.

    Latihan fellowship Dr. Voon ditaja oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Clinical Research Malaysia.

    Untuk pengetahuan anda, onkologi merupakan cabang perubatan yang berkaitan diagnosis, rawatan dan pencegahan kanser.

    Beliau merupakan graduan perubatan dari universiti awam di Sarawak

    Pakar Onkologi Dari Sarawak Sertai Latihan Penyelidikan Kanser Terbaik Dunia
    Pakar Onkologi Dari Sarawak Sertai Latihan Penyelidikan Kanser Terbaik Dunia

    Dr. Voon Pei Jye kini bertugas sebagai pakar onkologi di Hospital Umum Sarawak. Beliau merupakan graduan doktor perubatan dari universiti awam Sarawak iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada tahun 2001.

    Perjalanan kariernya sebagai doktor perubatan dimantapkan lagi dengan ijazah sarjana (Master) dalam bidang Internal Medicine dari National University of Singapore yang diperoleh nya pada tahun 2007. Malah, pada tahun yang sama, beliau dianugerahkan keahlian Royal College of Physician United Kingdom.

    Pada tahun 2012, Dr. Voon menyertai latihan pakar lanjutan dalam bidang Medical Oncology di Singapura yang membolehkan beliau layak digelar sebagai pakar onkologi.

    Berpengalaman luas dalam penyelidikan tajaan industri terutamanya berkaitan ujian klinikal

    Beliau juga sememangnya seorang yang mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan penyelidikan tajaan industri. Penyelidikan yang menjadi minat utama beliau ialah berkaitan ujian klinikal dalam pembangunan ubat-ubatan, terutamanya dalam bidang onkologi.

    Bagi Dr. Voon, ia adalah satu kepuasan apabila beliau dapat mengembangkan pilihan rawatan kepada pesakit melalui ujian klinikal. Disebabkan ramai yang tidak mampu menanggung kos perubatan konvensional yang mahal, rawatan melalui ujian klinikal adalah alternatif sekaligus membantu memberi input kepada pembangunan ubat-ubatan dan rawatan baru.

    Tahniah Dr. Voon!

    Baca juga kisah kejayaan anak Sarawak yang lain :

    Artikel Berkaitan