Ditutup untuk pembersihan dan sanitasi menyeluruh
Pemilik Dan Pekerja Disahkan Positif, Ini Senarai Premis Yang Ditutup Di Kuching. Setakat semalam, Bandaraya Kuching telah mencatatkan peningkatan semula kes jangkitan dan menjadikan bahagian ini kembali berada di zon merah.
Kluster jangkitan turut bertambah di Kuching seperti Kluster Green Hill, Kluster Baki, Kluster Seladah, dan Kluster Bah Arnab.
Di sini kami kumpulkan senarai lokasi yang ditutup sementara waktu untuk mengurangkan penyebaran jangkitan.
1. Wisma Saberkas
Lokasi yang terkenal sebagai tempat membeli belah barangan elektronik ini dimaklumkan ditutup bermula 2 November sehingga 16 November bagi menjalankan ujian saringan swab ke atas pekerja premis di wisma berkenaan.
Ini susulan seorang pemilik premis beserta anak dan pekerjanya disahkan positif pada 29 Oktober dan 1 November yang lalu. Hal ini juga telah dimaklumkan secara rasmi oleh premis berkenaan melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Wisma Saberkas akan ditutup sehingga tarikh yang dinyatakan untuk melakukan pembersihan dan sanitasi secara menyeluruh sepanjang tempoh tersebut.
Tempoh tutup : 2 hingga 16 November 2020



2. Maybank Cawangan Matang Jaya
Maybank Cawangan Matang Jaya (berhampiran dengan eMart Matang) turut ditutup bermula 2 November sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Menerusi notis yang ditampal di luar premis perbankan berkenaan, penutupan cawangan tersebut adalah berikutan salah seorang pekerjanya merupakan kontak rapat kepada salah seorang pesakit COVID-19.
Walau bagaimanapun, pesakit tersebut bukanlah staf bank berkenaan dan kontak tersebut berlaku di luar cawangan tersebut. Bank akan ditutup sehingga staf yang telah disaring didapati negatif.
Segala urusan perbankan dinasihatkan untuk dilakukan secara atas talian atau mengunjungi cawangan Maybank lain di Satok, Tabuan Jaya, dan Jalan Song Thian Cheok.
Tempoh tutup : 2 November 2020 hingga diberitahu kelak

3. Restoran Noodle Descendants
Restoran yang terletak di Jalan Padungan ini juga turut mengumumkan penutupan sementara premis perniagaannya susulan salah seorang ahli keluarga pekerja di restoran berkenaan disahkan positif.
Walau bagaimanapun, individu yang positif tersebut tidak terlibat secara langsung dalam operasi restoran berkenaan.
Restoran tersebut juga turut ditutup selama 14 hari.
Tempoh tutup : 2 hingga 16 November 2020

4. Borneo Rednecks Bistro
Sebuah bistro tempatan di Kuching pula, Borneo Rednecks juga ditutup bermula 30 Oktober sehingga diberitahu kelak. Penutupan tersebut adalah berpunca daripada salah seorang ahli penghibur di bistro berkenaan disahkan positif.
Kali terakhir individu berkenaan membuat persembahan adalah pada 25 Oktober yang lalu. Oleh yang demikian, pihak pengurusan menasihati orang awam yang pernah mengunjungi bistro tersebut pada tarikh tersebut dan hari-hari seterusnya untuk melaksanakan ujian saringan kendiri di pusat kesihatan yang terdekat.
Tempoh tutup : 30 Oktober sehingga diberitahu kelak

5. Restoran Roots Bistronomy
Restoran yang bertempat di Kuching Old Courthouse, berdekatan dengan Tebingan Waterfront Kuching ini juga ditutup kerana pernah dikunjungi oleh pelanggan yang disahkan positif.
Walau bagaimanapun, menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pihaknya sentiasa mematuhi SOP dan merekodkan setiap kontak pelanggan untuk memudahkan tujuan pengesanan kontak. Selain itu, premis tersebut juga disanitasi dan dibersihkan setiap hari.
Restoran tersebut akan dibuka setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
Tempoh tutup : 30 Oktober sehingga diberitahu kelak

Melalui notis-notis yang dikeluarkan ini, jelas sekali bahawa virus ini sememangnya telah berada dalam komuniti kita. Ia bukanlah sesuatu yang hanya dibawa oleh orang luar tetapi sebaliknya ia memang telah wujud namun tidak nampak di mata kasar.
Kepada individu yang berada di Kuching, diharap anda semua sentiasa berwaspada. Seelok-eloknya, elakkan berada di luar jika tiada keperluan mendesak.
Kita jaga kita.