Suruh buat perkara baik pun ditampar.
Pekerja Di Kuching Ditampar Pelanggan Kerana Disuruh Memakai Pelitup Muka. Pelitup muka merupakan sesuatu yang amat penting tatkala dunia kini menghadapi serangan pandemik yang belum ada kesudahan.
Di Kuching, sebuah kejadian yang tidak disangka pula berlaku di sebuah restoran pula.
Hanya gara-gara disuruh memakai pelitup muka, seorang pekerja sebuah restoran di Satok, Kuching telah ditampar oleh pelanggan.
Pelanggan tersebut yang merupakan pasangan lelaki dan perempuan dikatakan ingin menjamu selera di restoran berkenaan. Namun demikian, setibanya di pintu masuk, pelanggan tersebut telah ditahan oleh pekerja restoran tersebut kerana tidak memakai pelitup muka.
Tidak puas hati kerana ada premis lain yang tidak cerewet pakai pelitup muka
Pekerja tersebut kemudian mengarahkan mereka untuk memakai pelitup muka sebelum membenarkan pasangan tersebut memasuki premis tersebut. Namun, salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati dengan tindakan pekerja tersebut memandangkan terdapat premis lain yang tidak cerewet tentang pemakaian pelitup muka.
Insiden tersebut kemudian bertukar panas apabila pelanggan lelaki tersebut bertindak menampar pekerja berkenaan dan mendakwa pekerja tersebut sebagai ‘penyibuk’. Keadaan menjadi lebih tegang apabila pelanggan lain di dalam restoran tersebut mula mengalihkan perhatian kepada mereka. Selain itu, beberapa pekerja lain juga turut tampil untuk menenangkan keadaan.
Berang diperhatikan pelanggan serta orang ramai, pasangan tersebut kemudian beredar dari premis berkenaan.
Kejadian memalukan itu telah dirakam melalui pita rakaman kamera litar tertutup CCTV yang ada di restoran tersebut.
Restoran terima panggilan staf berkelakuan biadap
Lapor Sin Chew Daily, restoran tersebut kemudian menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali yang mengatakan bahawa pekerja di restoran tersebut berlaku biadap dan berhenti untuk berkunjung ke sana untuk menikmati jamuan.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada panggilan tersebut mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut atau pun tidak.
Sentiasa guna pelitup muka di mana sahaja
Buat pelanggan dan masyarakat di luar sana, sentiasa pakai pelitup muka walau dimanapun anda berada. Tindakan tidak memakai pelitup muka seolah-olah anda sedang menyebarkan ‘virus’ yang sedang bersembunyi dalam komuniti kita.
Sikap leka dan sambil lewa akan menyebabkan kita dihurung gelombang baru sekali lagi. Para pekerja dan staf di premis pula hendaklah mempamerkan adab serta nilai susila yang tinggi jika anda ingin menegur pelanggan atau pelawat yang datang ke premis anda.
Kita jaga kita.