Pemain Sape Sarawak Raih Empat Pingat Emas Di Kejohanan Antarabangsa
Pemain alat muzik sape Saufi Aiman Yahya mengharumkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa apabila memenangi empat pingat emas di Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) yang ke-21 di Long Beach, California di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menurut laporan dari The Borneo Post, anak kelahiran Kuching itu berjaya memperoleh empat pingat emas dalam kategori Jazz, Kontemporari, Klasik dan Terbuka dan satu pingat perak dalam kategori Karya Original.
Saufi, 27, juga memperoleh tiga plak ‘Champion of the World’ untuk kategori Instrumentalist (Solo).

Graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ini telah pergi ke Amerika Syarikat pada 29 Jun bersama wakil Malaysia yang lain – Aloysius Susek, Dayang Izyan Zawanie dan Esther Applunius yang bertanding dalam kategori vokal, dan Nelson Thien dalam kategori tarian.
WCOPA ialah satu-satunya pertandingan seni persembahan peringkat antarabangsa dan dianjurkan setiap tahun di California. Pada tahun ini, WCOPA ditandingi oleh peserta-peserta amateur dan profesional dari 52 negara.