Remaja berusia 14 tahun antara yang diberkas dalam serbuan di Jalan Stutong.
Remaja 14 Tahun Diberkas, Jadi Pekerja Panggilan Judi Dalam Talian. Empat lelaki warganegara Indonesia termasuk seorang remaja berusia 14 tahun telah dicekup dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Stutong, pada hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 1.20 petang itu mendapati bahawa rumah tersebut telah dijadikan pusat panggilan judi dalam talian.

Guna medium Whatsapp dan WeChat
“Pusat judi tersebut menggunakan medium Whatsapp dan WeChat untuk berurusan dengan pelanggan atau pemain judi dalam talian itu sendiri.
“Pemain akan diberikan kata laluan setelah membuat bayaran sebagaimana yang telah diarahkan oleh pengendali judi di pusat tersebut,” tambahnya menerusi satu kenyataan semalam.

Telefon bimbit antara yang dirampas
Selain itu, turut dirampas juga dalam operasi tersebut adalah beberapa peralatan komputer dan telefon bimbit.
Kes disiasat bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.